Monday, November 22, 2010

Malang

(Latar belakang dari akta angkasa - Helaian Epilog Teks Ringkas Edisi Kita)


Balik beraya baru-baru ini aku baru tersedar yang ayah tersangat tua. Kadang-kadang bila aku berbual dengannya, dia akan termenung seketika seperti memikirkan sesuatu. Dan bila aku pegang tangannya baru dia tersedar dan tanya kembali apa yang aku sedang bualkan dengannya.

Ayah ada 3 orang anak. Along, Angah dan aku. Yang paling manja dengan ayah adalah Along. Tapi Along jarang balik ke rumah ayah kerana telah mempunyai keluarga sendiri. Angah pula adalah satu-satunya makhluk yang tinggal bersama-sama dengan ayah. Mungkin kerana hanya Angah yang menjaga ayah selepas ketiadaan ibu, Angah macam sedikit tertekan.

Apa yang aku amati setiap kali aku balik, Angah semacam ada krisis dengan ayah. Kalau ayah cuba berbual dengannya, dia tidak memberi apa-apa respond. Pernah juga aku bertanya kepada ayah tentang perkara ini. Tapi ayah tak pernah jawab dengan jawapan yang tepat dan kemudian suasana menjadi sunyi seketika. Ayah termenung lagi. "Laila jangan marah-marah dekat Angah. Angah nampak je macam tu...", ayat biasa yang ayah akan katakan pada aku. Biasanya selepas pertanyaan tentang Angah, ayah akan terus berlalu meninggal aku dengan seribu tanda tanya. Bukan aku tak mahu bertanya kepada Angah. Tapi semua orang tahu yang Angah jenis keras kepala, degil, panas baran dan apa-apa perangai yang selalunya ada pada samseng.

Bukan aku membenci Angah. Secara jujur Angah dan aku tiada apa-apa masalah. Berbanding Along, aku lebih rapat dengan Angah. Jadi aku tahu perangainya. Apa yang dia tidak suka jangan cuba-cuba tanya atau paksa. Aku memang faham sangat. Macam perkara ini yang Angah tidak pernah cerita kepada aku, jadi janganlah memandai tanya kalau tak nak kena maki. Tapi aku sedikit terkilan dengan sikap Angah terhadap ayah. Apa lagi yang aku boleh buat?






Cerita lain,





Balik semula ke rumah sewa semalam. Sesampainya aku di muka pintu, grill tak berkunci. Aku buka pintu perlahan-lahan. Teman serumah yang aku tak faham apa jenis perangainya berdengkur dengan televisyen terbuka. Kalau-kalau ada berita gadis dirogol atau disamun di kawasan perumahan ini, memang aku tahu siapa mangsanya.

Cuai.

Dah banyak kali aku beritahu pada teman serumah supaya kunci semua pintu kalau hendak tidur.

Aku buka pula pintu balkoni. Macam lahanat. Tuan rumah masih belum upah plumber untuk membaiki tangki air yang bocor dan macam biasa teman serumah aku lebih sanggup menonton televisyen dari mop air yang melimpah ruah ini.

Adakah aku secara rasmi telah dilantik sebagai tukang gaji untuk rumah sewa yang bukan hanya teman serumah yang bayar sewanya?

Sebab aku terlampau penat memikirkan hal keluarga dan rumah sewa ini, aku terus masuk bilik dan tidur sehingga aku perlu bangun untuk bekerja pada pagi tadi. Di tempat kerja pula kerja berlambak padahal aku dah siapkan sebelum cuti minggu lepas dan akhirnya aku terpaksa siapkan kesemua itu sampai pukul 7 petang tadi.

Tahniah kepada aku kerana ditimpa malang.